
Tindakan Presiden Mahmoud Ahmadinejad mengusir beberapa wakil media Barat dari membuat liputan rusuhan di Iran adalah wajar. Mereka bukan sekadar melaporkan keadaan pilihan raya Presiden tetapi mencipta persepsi supaya dunia melihat serong kepada Iran.
Kalau dilihat dalam masa seminggu ini media Barat melaporkan keadaan di Teheran berada dalam keadaan yang sangat tegang. Penunjuk perasaan bermaharajalela di jalan-jalan raya dan merosakkan harta benda awam. Semua ini memprotes kemenangan Ahmadinejad.
Sementara itu Naib Presiden Amerika Syarikat (AS) Joe Biden pula memperlihatkan semacam kebimbangan dengan perkembangan terbaru di Iran dan yakin ada suatu yang tidak kena dengan pilihan raya yang diadakan minggu lalu. Apakah mesej yang hendak disampaikan sebenarnya?
Nada beberapa media Barat kelihatan sangat sehaluan dengan dasar AS yang awal-awal lagi prejudis terhadap pemimpin yang dikelaskan sebagai “konservatif”. AS sebelum ini membayangkan pilihan raya Presiden membawa “perubahan” daripada konservatif kepada reformis.
Penanda aras konservatif dan reformis sangat kabur sebenarnya. Apakah konservatif itu bermaksud tidak toleran terhadap AS, tegas dalam isu Palestin yang diganyang Israel dan tidak memberi muka kepada AS? Atau apakah reformis itu bukan saja lebih terbuka tetapi tidak membangkitkan banyak perkara yang menjadi kepentingan negara kerana mahu menjalinkan hubungan dengan AS?
Penolakan
Pasca pilihan raya Presiden digambarkan oleh media Barat sebagai penolakan rakyat terhadap Ahmadinejad. Pilihan raya itu dikatakan penuh penipuan dan dengan lain perkataan, pilihan raya Presiden Iran tidak demokratik. Rusuhan yang dicetuskan oleh pembangkang adalah proses mencari demokrasi di Iran. Itulah persepsi yang diberikan oleh media Barat beberapa jam sebelum Ahmadinejad secara rasmi diumumkan menang Sabtu lalu.
Dunia tidak mendapatkan gambaran yang jelas dan sahih mengenai situasi politik di Iran. Bayangan AS terlalu tebal untuk melihat adakah rusuhan yang berlaku itu benar-benar memprotes ketelusan sistem pilihan raya atau campur tangan kuasa asing yang menyusup masuk bagi mencetuskan porak peranda? Kerana itu laporan media Barat dicurigai, mereka membawa agenda AS yang tidak selesa dengan kemenangan Ahmadinejad.
Rusuhan pasca pilihan raya baru-baru ini digunakan untuk memperlihatkan kepada dunia bahawa majoriti rakyat menolak Ahmadinejad. Padahal Ahmadinejad adalah pemimpin neokonservatif yang sama dengan bekas Presiden AS, George W. Bush.
Kalau teliti, penyokong-penyokong puak reformis yang diketuai oleh Hossein Mousavi terdiri daripada penduduk di kawasan bandar-bandar utama. Antara faktornya modenisasi dan keterbukaan kepada pengaruh luar membuatkan mereka menganggap Ahmadinejad konservatif. Mereka tentu saja lebih mementingkan ekonomi dan ketegangan dengan AS menjejaskan ekonomi Iran.
Tetapi di kawasan luar bandar, sokongan kepada Ahmadinejad tetap kuat. Tuduhan musuh politik bahawa keputusan pilihan raya telah dimanipulasikan bagi memberi kemenangan kepada Ahmadinejad adalah alasan biasa kepada yang tewas. Penglibatan AS dalam pilihan raya ini juga dilihat ketara kerana sikap Ahmadinejad yang tidak bertolak ansur dengan AS mengenai program nuklear Iran.
Presiden AS, Barack Obama pula pernah menegaskan bahawa beliau akan meneruskan dasar diplomasi terhadap Iran. Ini membawa maksud Obama tidak mengambil kira keputusan pilihan raya negara itu yang mencetuskan kekecohan. Malah memberi amaran bahawa campur tangan AS dalam politik di Iran boleh menimbulkan kesan yang lebih buruk.
Secara diplomasi juga, Obama kelihatan tidak mahu terlalu menekankan perbezaan antara Ahmadinejad dan pencabar terdekat Mousavi. Laporan media Barat tentang sikap Obama ini seolah-olah menunjukkan beliau tidak mahu campur tangan dalam tunjuk perasaan yang semakin menjadi-jadi itu.
Tetapi kalau dilihat beberapa kenyataan Obama sebelum ini jelas memperlihatkan harapan supaya pemimpin yang dipilih dalam pilihan raya Presiden yang lalu adalah golongan reformis. Beberapa kali Obama menekankan beliau mahu melihat “perubahan” dalam warna politik di Iran. Semua ini memperjelaskan harapan Obama supaya Ahmadinejad kecundang dan pemimpin yang lebih “toleran” dengan AS akan dipilih. Seperti kata Obama, “Kita bakal berdepan dengan rejim Iran yang telah lama bermusuhan dengan AS. Mereka yang menyebabkan masalah di Asia Barat kerana menjalankan program senjata nuklear.”
Walaupun Ahmadinejad tidak pernah berubah kenyataannya tentang program nuklear untuk tenaga, Obama kelihatan masih terperangkap dengan dasar-dasar AS sebelum ini yang menganggap program nuklear Iran sebagai “senjata”.
Kalau dilihat bagaimana penerimaan AS terhadap pilihan raya Palestin yang memberi kemenangan kepada Hamas, tentu Iran kini berada dalam situasi yang sama. Kelompok harapan AS kecundang sama seperti kecundangnya Fatah di tangan Hamas biarpun kedua-dua puak ini Islam. AS dengan angkuh memberi tekanan ekonomi dan politik kepada Hamas walaupun pilihan raya Palestin berlangsung secara demokratik.
Ahmadinejad juga sebelum ini menyokong pergerakan Hizbullah di Lebanon yang dianggap pengganas oleh Barat. Semua ini boleh dijadikan alasan yang menyokong hujah bahawa kecenderungan AS untuk mencari pemimpin yang lebih toleran untuk memudahkan membuat percaturan politik di Asia Barat.
Menyokong
Rakyat Iran harus mengambil iktibar sikap AS menyokong sekalipun secara tidak langsung pihak tertentu dalam negara itu. Kalau benar AS menyanjung demokrasi, mereka telah lama menerima kemenangan Hamas.
Sikap tidak toleran Ahmadinejad malah menjadi “pengacau” kepada Israel membuatkan AS tidak selesa dengan keadaan politik semasa Iran. Tetapi tanpa Iran, tidak ada pemimpin-pemimpin dari dunia Arab yang kelihatan serius menjadi pembela Palestin yang dianiaya Israel dengan restu AS.
Tidak lama dulu Bush pernah menggertak untuk menyerang Iran dengan menggunakan lesen Majlis Keselamatan PBB. Tetapi Ahmadinejad tidak mempedulikan gertakan itu sekali pun Iran dilihat jauh lebih kecil kemampuan ketenteraan dan teknologi perang berbanding AS. Ketika itu Iran memegang kunci Majlis Keselamatan. Gertakan AS sekadar serangan psikologi untuk melemahkan semangat Iran tetapi Iran mendapat kekuatan daripada Majlis Keselamatan yang sebelum itu diperalatkan oleh AS.
Kuasa besar yang ada dalam Majlis Keselamatan seperti China dan Rusia serta beberapa negara Eropah antaranya Jerman dan Itali mempunyai hubungan diplomatik dan dagang yang baik dengan Iran . Ini adalah kekuatan Iran pada era kepimpinan Ahmadinejad. Negara kuasa besar ini memberi amaran kepada AS bahawa sekatan ekonomi ke atas Iran ketika itu lebih membahayakan. Sekatan ke atas Iran lebih memburukkan "kempen keamanan" yang dijaja oleh AS.
Maka kalau dilihat rentetan ini, ternyata AS mahu pemimpin Iran yang baru dan boleh “toleran” atau menjadi boneka AS seperti yang terdapat di Iraq sekarang ini. AS sebenarnya tidak mempunyai kepentingan di Iran untuk tumpang simpati dengan rakyat Iran kecuali menyekat kemaraan pemimpin yang memberi masalah kepada Israel.
Pencetus rusuhan selama seminggu itu yang kelihatannya memanglah Mousavi. Tetapi kalangan pemerhati politik percaya ada tangan-tangan AS yang memainkan peranan untuk memberi tekanan kepada Ahmadinejad. Adegan-adegan penunjuk perasaan adalah pesta menagih demokrasi seperti yang dimahukan oleh AS.
Untuk memastikan keadilan kepada rakyat, Ahmadinejad tidak boleh toleran dengan pengacau seperti penunjuk perasaan ini. Ketika kuasa ada di tangannya, gunakan untuk memastikan majoriti rakyat yang menerima beliau tidak terganggu. Pemimpin yang baik mesti ada sedikit “kuku besi” kerana yang terlalu toleran akan dipijak kepalanya.


No comments:
Post a Comment